DEFINISI , CIRI DAN FUNGSI GURINDAM


1.1.4    GURINDAM

Definisi dan Ciri
Menurut Ismail Hamid (1989), istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Wakaupun berasal daripada bahasa asing, tetapi dalam perkembangan puisi Melayu, gurindam yang berkembang dalam tradisi lisan Melayu mempunyai bentuknya yang tersendiri dan kelainan dengan gurindam dalam bahassa Sanskrit. Menurut Raja Ali Haji, “…adapun gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataanya dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab” (Sutan Takdir Alisjahbana, 1954)

            Berdasarlkan definisi yang diberikan oleh Raja Ali Haji, Sutan Takdir Alisahbana (1954) menjelaskan pembentukkan gurindam yang biasanya terjadi daripada sebuah kalimat majmuk, yang dibahagi menjadi dua baris yang bersajak. Tiap-tiaop baris itu ialah sebuah kalimat, dan perhubungan antara dua buah kalimat itu biasanya ialah perhubungan antara anak kalimat dengan induk kalimat. Jumlah suku (suku kata) tiap-tiap baris itu tidak ditentukan. Demikian juga rimanya tiada tetap.

            Definisi yang diberi oleh Raja Ali Haji dan Sutan Takdir Alisjahbana ini hanya menyentuh bentuk sahaja. Menurut Za’ba (1962) gurindam merupakan puisi yang tidak mengandung sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubahkan dalam bahasa yang indah untuk dinyayikan bagi tujuan hiburan.

            Sebelum itu, dalam Pelita bahasa Melayu penggal III (1957), Za’ba pernah mengatakan bahawa, “gurindam dan seloka lebih kurang sama, iaitu satu jenis syair meleret yang tidak teratur, berangkap-rangkap dan tiada tetap sukatnya, timbangannya dan sajaknya. maka, Jika ada pun perbezaanya antara dua itu ialah pada keadaan isinya dan bahasanya sahaja iaitu:

            a.         Gurindam bahasanya selalu padat dan bernas, dan isinya lebih cenderung kepada   riang dan sukacita sebagai nyanyian, jenaka, senda gurau, kelakar, dan sindiran giat yang        bermain-main dan menggeli-gelikan hati. Yang demikian menunjukkan ada kesempatan           boleh melengah-lengahkan masa dan menyuka-nyukakan hati.

            b.         Seloka bahasanya kerap kali meleret dan lanjut, dan sindir giatnya selalu tajam       dan bias seperti mengejek, dan selain daripada itu boleh juga isinya mengandungi    perasaan-perasaan hiba-rawan, sedih-sayu, asyik-berahi, khayal, mimpi dan angan-angan.         Yang demikian menunjukkan ada kesempatan pula boleh melengah-lengahkan masa           dengan perkara-perkara seperti itu.

            Menurut Mohd. Taib Osman (1979), huraian Za’ba seperti di atas telaj meluaskan lagi struktur gurindam dan seloka daripada yang diberikan oleh Sutan Takdir Alisjahbana ataupun Raja Ali Haji.
            Harun Mat Piah (1989), kemudiannya menjelaskan lagi definisi gurindam berdasarkan bentuknya, iaitu sejenis puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya sama ada terikat atau tidak. Bentuk yang terikat terdiri daripada dua baris  serangkap dan mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris dengan rimanya a, a. Biasanya beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapkan satu keseluruhan idea.
            Seperti seloka, gurindam bukanlah puisi yang lumrah digunakan oleh masyarakat Melayu. Bentuk ini lebih formal penggunaanya. Puisi ini mungkin digunakan dalam majlis-majlis tertentu. Oleh itu, sangat sukar untuk mencari contoh gurindam kecuali yang wujud dalam bentuk tulisan iaitu “Gurindam Dua Belas” yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji.

FUNGSI
Berdasarkan isinya, gurindam dapatlah dianggap sebagai puisi yang digunakan untuk tujuan pendidikan dan huburan. Selain itu, gurindam juga berfungsi sebagai dokumentasi gambaran masyarakat yang dapat memancarkan kreativiti dan estetika serta dayaintelektual masyarakat Melayu lama dalam menangani hal kehidupan mereka. Gurindam juga dapat dijadikan media komunikasi antara ahli masyarakat, terutama dalam majlis-majlis yang formal

TERIMA KASIH JEMPUT KOMEN :)

 
This blog is proudly powered by Blogger.com | Edit by inikisahtia.com